(SURAT KEPADA ADMIN) - Muhyiddin, jangan hancurkan usaha reformasi Kerajaan PH!



PERSEKONGKOLAN Muhyiddin Yassin dengan UMNO yang terpalit dengan dakwaan rasuah, kleptokrasi dan salah guna kuasa, serta PAS, ternyatakan mengejutkan ramai rakyat Malaysia.

Tindakan itu berlaku ketika Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang bertungkus lumus meletakkan negara di landasan yang betul serta memastikan pemimpin-pemimpin UMNO yang didakwa rasuah dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.

Langkah keluar PH oleh Muhyiddin serta kumpulannya membawa implikasi yang besar terhadap usaha serta komitmen kerajaan dalam membersihkan negara daripada rasuah.

Melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, imej kleptokrat yang dikaitkan dengan Malaysia sebelum ini berjaya dikikis sekaligus meletakkan integriti negara kembali dihormati.

Menilai prestasi Kerajaan PH memerintah negara sejak Mei 2018, perkara yang paling ketara menampakkan impak adalah usaha mempertingkatkan governans, integriti dan anti rasuah.

Dalam masa setahun sejak NACP 2019-2023 diperkenalkan pada 29 Januari 2019, pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan terancang dan terperinci.

Ini bermula dengan mewujudkan satu badan khusus yang bertanggungjawab untuk menyelaras semua usaha kerajaan dalam membudayakan integriti di kalangan rakyat.

Selain itu pewujudan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) dan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC) yang bertindak sebagai sekretariat kepada jawatankuasa ini juga telah menghasilkan pelbagai dasar untuk penambahbaikan pentadbiran.

Secara langsung, kedudukan Malaysia meningkat dari tangga ke 61 ke 51 di Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019 seperti yang dilapor Transparency International Malaysia (TI-M) baru-baru ini.

Sehingga kini 25 inisiatif telah berjaya diselesaikan daripada 115 yang dirangka untuk dilaksanakan antara tahun 2019-2023.

Semua usaha membasmi gejala rasuah ini   seolah-olah terhenti jika Kerajaan PH tidak dapat mentadbir negara dan meneruskan perancangan mereka ini.

Muhyiddin juga secara konsisten sebelum ini menempelak dan menolak kedua-dua UMNO dan PAS.

Muhyiddin pernah berkata, UMNO dan PAS akan terus menabur fitnah perkauman dan agama semata-mata untuk memburukkan kerajaan PH di mata umat Islam.

Jelasnya, ia amalan politik yang amat tidak sihat selain meracuni pemikiran umat Islam.

Pelbagai fitnah serta penggunaan isu agama secara melampau untuk kepentingan politik yang sempit tambah Muhyiddin, akan menimbulkan kebencian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Jadi, jika benar amalan politik sebegitu dilakukan oleh UMNO dan PAS, mereka boleh dianggap sebagai ancaman kepada rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Mereka perlu ditolak sejauh-jauhnya untuk memastikan Malaysia selamat.

Rakyat Malaysia juga belum lupa kenyataan Muhyiddin bahawa orang Melayu harus bersyukur UMNO kalah kerana pemimpin parti itu tidak lagi boleh menipu atau menutup kelemahan mereka.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, UMNO paling takut orang Melayu tahu kesalahan-kesalahan mereka dan kerana itulah UMNO duka nestapa “kononnya orang Melayu sudah hilang kuasa” apabila tertubuhnya kerajaan baru.

Sebab itu rakyat Malaysia keliru apabila Muhyiddin dengan tanpa rasa bersalah, telah memimpin kumpulannya sebagai calon perdana menteri. Kumpulannya itu juga melibatkan UMNO dan PAS!

Kesediaan Muhyiddin untuk berkompromi dengan UMNO dan PAS ini amat mendukacitakan. Sehubungan itu, kita berharap Kerajaan PH terus memerintah agar usaha membasmi rasuah serta memupuk keharmonian kaum dapat diteruskan dengan jayanya. 

Post a Comment

0 Comments