Sumber: Harian Metro
KUALA LUMPUR: “Saya mengambil masa satu hingga tujuh minggu untuk menyiapkan peta tiga daripada empat daerah di Lombok akibat kejadian gempa bumi.
“Setiap daerah yang saya lukis amat mencabar khususnya dalam pembinaan semula penempatan mangsa terbabit,” kata Siti Nurafaf Ismail, 21, pelajar Sarjana Muda Seni Bina Universiti Malaya (UM).
Siti Nurafaf dinobatkan sebagai wanita Asia pertama menerima dana daripada Institut Diraja Arkitek British (RIBA) menerusi kertas kerja bertajuk Seni Bina Rendah Diri (Architecture of Humility) yang memberi fokus kepada peranan arkitek di kawasan bencana.
Menurut anak kelahiran Alor Setar, Kedah, dia mula tertarik dengan dunia arkitek sejak menuntut di tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)(P) Sri Aman, Petaling Jaya, selepas mendapat dorongan keluarga dan guru.
“Kalau saya jadi arkitek suatu hari nanti saya akan memberi tumpuan kepada kawasan bencana. Ia selepas saya terbabit dalam sukarelawan membantu mangsa banjir besar di Kelantan sedikit sebanyak menginsafkan saya.
“Dari situ, timbul kesedaran untuk membantu masyarakat yang dilanda bencana. Niat saya memang hendak tolong orang yang dalam kesusahan.”
“Sebagai arkitek, ia bukan saja mengejar impian untuk membina bangunan pencakar langit, malah di kawasan yang dilanda bencana seperti gempa bumi atau banjir,” katanya yang ditemui di UM, di sini, semalam.
Siti Nurafaf diumumkan sebagai penerima RIBA Norman Foster Travelling Scholarship pada 14 Jun lalu dan menerima dana 7,000 pound (RM36,000) bagi melaksanakan projek Seni Bina Rendah Diri di Hokkaido, Jepun, pada Ogos depan, manakala di Karachi, Pakistan, November depan.
Dia yang baru pulang dari Istanbul, Turki, selepas mengikuti program pertukaran pelajar dalam bidang seni bina selama empat bulan, berkata kertas cadangannya menarik hati RIBA yang menerangkan peranan arkitek dalam seni bina masyarakat di zon bencana alam.
“Saya memulakan projek di Lombok pada Januari lalu selepas mendapat tajaan RM5,000 daripada Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM). Ia turut mendapat sokongan UM dan arkitek terkemuka, Prof Dr Jimmy Lim.
“Kertas kerja hasil kajian dan dokumentasi selama sebulan di Lombok turut saya hantar kepada RIBA Norman Foster Travelling Scholarship.
“Alhamdulillah, kertas kerja saya terpilih oleh juri RIBA dan akan meneruskan projek seterusnya,” kata anak bongsu daripada lima beradik.
0 Comments