Aku bukan pujangga, penyajak dan yang pastinya bukan antara golongan intelek yang disegani. Yang aku kenal adalah suara hati aku. Kerapkali aku ditanya soalan yang berlazimkan kepandaian. Kerapkali jawapan aku tetap sama. Entah bin Tak Tahu.
Aku memang seorang manusia yang sering bernostalgia. Ingatan aku kerapkali kembali ke satu zaman dimana dinamik kemasyarakatan Malaysia walaupun berfungsi secara berasingan dan mempunyai struktur etnik berbeza wujud didalam idealisma sejagat yang berpandukan kepentingan bersama.
Kita lebih PADU BILA SEPADU adalah saranan ayahku selalu. Bunyinya sama dengan saranan Perdana Menteri kita, Tun M dari dulu lagi.
Tapi itu dulu. Kini pelbagai sentimen perkauman berlegar bebas didalam dinamik ini dan makin lama ianya telah berjaya memudarkan pendirian perpaduan kita.
Setibanya Zahid Hamidi dan Najib Razak ditunjang UMNO semula tiba jugalah Politik Kebencian yang telah menjadi simbol kebanggaan Bossku dan rakannya si Zahid Komedi.
Askar siber mereka bekerja keras untuk memastikan yang bersifat altruis dicemuh dan yang bersifat rasis diraikan. Inilah kaedah ‘politik longkang’ yang bukan hanya tidak selesa bila dilihat tapi membimbangkan bila difikirkan. Cerita sebenar direka semula untuk mengandungi naratif perkauman dan disebar melalui media sosial. Kita pula membaca dan mempercayai tanpa usul periksa.
Apabila struktur toleransi perkauman dihentam bertalu-talu oleh ahli politik veteran seperti mereka ianya akan secara langsung merobohkan asas kekukuhan kita. Akibatnya juga tidak enak jika dibayangkan.
Selepas 62 tahun dimerdekakan badan, jiwa dan segalanya, adakah kita masih ingin bersifat seperti kanak-kanak yang tak pernah jemu merengek? Adakah ianya kerana kita didorong mereka untuk merengek?
Adakah laungan-laungan serta pendapat rasis mereka sudah menjadi suara merdu didalam telinga kita? Adakah kita dengan mudah mempercayai dakyah dan penipuan mereka tanpa memeriksa kebenaran fakta?
Sudahkah pengamatan logik kemasyarakatan kita jauh menyimpang? Entah Bin Tak Tahu.
Bukankah ianya impian setiap warganegara Malaysia untuk mencapai tahap keharmonian kaum yang boleh dibanggakan di peringkat antarabangsa?
Sejujurnya tahap keharmonian kita sebenarnya lebih mengkagumkan berbanding Amerika Syarikat dan negara Barat yang lain. Tiada negara seperti kita. Kita unik. Insiden perbalahan etnik di negara kita boleh dikatakan sebagai yang terendah didunia walaupun ada banyak kaum berbeza yang berlainan agama. Kita bahagia.
Tetapi Najib dan Zahid ingin merompak dan merombak kebahagiaan ini. Mereka ingin menguraikan perpaduan kita yang dibina selama 62 tahun semata-mata untuk cita-cita politik mereka. Kedua-duanya juga menganggap kita tidak cukup matang untuk memahami konsep ‘untuk kepentingan dan kebaikansemua’. Kita tahu yang kepentingan dan kebaikan negara dicintai pada setiap lapisan masyarakat hanya akan berpanjangan kita hidup bertoleransi, bertolak-ansur dan percaya sesama sendiri.
Persoalannya apa faedah yang bakal mereka menerima jika jurang perkauman diperbesarkan? Konsep perpecahan ini sejajar dengan falsafah Pemerintahan Melalui Pembahagian (divide and conquer), di mana satu komuniti akan disuap sentimen yang mencanggah dengan falsafah kelompok asal untuk memecahkan kesatuan kelompok asal tersebut. Ini adalah untuk melahirkan sebuah komuniti pecahan yang berpandangan berlainan, lebih kecil dan lebih mudah diperintah.
Sebagai contoh Adolf Hitler pernah memerintah negara Jerman dengan falsafah kebencian yang menjadi tunggak pegerakkan facismanya yang bercanggah dengan kelompok fahaman banyak negara lain di Eropah. Falsafah yang sama mendorong askar Jerman untuk membunuh tanpa belas kasihan semata-mata untuk merealisasikan visi pemimpin mereka untuk mengagungkan kaumnya sendiri. Hitler menggunakan falsafah negatif untuk memandu rakyatnya untuk bersikap disktruktif. Ini membuatkan mereka lebih mudah di perintah, di kongkong dan dipergunakan.
Inilah permainan politik Zahid dan Najib. Untuk memecah-belahkan komuniti yang pada asasnya bersepadu semata-mata untuk merampas tampuk pemerintahan semula. Untuk agenda politik individu mereka. Untuk peluang kedua untuk mengambil harta negara. Bukan untuk membayar hutang, bukan untuk menjalankan mekanisma kerajaan dan semestinya bukan untuk kepentingan kita. Matlamat mereka adalah untuk menambahkan lagi harta individu mereka kerana mereka adalah manusia tamak yang tak mengenal noktah.
Apa pun mereka sarankan dari mulut mereka atau melalui tulisan askar siber mereka, kebenaran status kita ialah; Penyatuan Melayu hanya boleh berlaku jika kita sedar dan peka terhadap realiti politik ini tanpa mebiarkan diri kita dipergunakan sebagai instrumen propaganda mereka.Penyatuan Melayu adalah asas penyatuan semua kaum di Malaysia kerana kita adalah komuniti terbesar di negara ini. Dinamik kita mempengaruhi dinamik semua kaum. Kalau kita berpecah-belah, tiang pendirian Malaysia akan retak.
Sebenarnya tiada beza diantara Malaysia Baru dengan Malaysia Lama. Kedua-duanya menjuangkan benda sama iaitu sebuah negara yang berlandaskan perpaduan dan idealisma penyempurnaan masyarakat.
Apa yang wujud adalah pemain politik seperti Najib dan Zahid yang menjana sifat ketidakpercayaan dan benci untuk menguatkan diri mereka semata-mata untuk menjadi pemerintah sekali lagi. Mereka ini secara tak bertanggungjawab menggunakan sentimen perkauman, sentimen agama dan sentiment distruktif untuk merobohkan segala asas yang kita bina untuk membangunkan sistem ‘pemerintahan pembahagian’ mereka.
Realitinya ialah kita menjadi tangga panjatan mereka untuk memuaskan nafsu haloba untuk memerintah semula. Kepala kita dipijak semata-mata untuk membolehkan mereka berdiri tinggi, megah dan berkuasa semula. Kita pasti dilupai jika matlamat mereka tercapai.
Selagi kita berjemaah dalam satu saf, menolong sesama saudara, dikapan, ditanam dan akan di hisab kelak, umat Islam tidak akan boleh dipesong dengan pengguasaan melalui perpecahan kaum, naratif kebencian dan politik tak matang. Kita bijak dan mereka tidak.
Tok Becok
0 Comments