Anak muda mampu bekalkan 50 ekor lembu sebulan dengan hanya bermodalkan RM7,500

Sumber: Berita Harian
KUBANG PASU: Bermodalkan RM7,500 untuk membeli dua ekor lembu bagi menjalankan perniagaan bekalan daging, seorang anak muda kini mampu membekalkan 50 ekor lembu sebulan.
Usahawan, Muhammad Aiman Muhammad Zaini, 24, berkata perniagaan yang diusahakannya sejak berusia 18 tahun itu menerima banyak tempahan setiap tahun dan meningkat sekali ganda menjelang Aidiladha.
Katanya, biarpun perniagaan itu diwarisi dari bapanya, Muhammad Zaini,50, namun tiada jalan mudah untuknya kecuali bermula dari bawah, termasuk melakukan kerja-kerja membersihkan kandang dan tapak penyembelihan.
“Pada usia 18 tahun, bapa membiarkan saya berdikari selepas dia menyatakan hasrat mahu 'pencen'. Dia mahu saya meneruskan perniagaan ini kerana menyedari ia sudah sebati dengan jiwa saya disebabkan sering membantunya dari kecil.
“Namun, bapa saya tidak tinggal apa pun untuk saya kecuali kandang dan tapak (penyembelihan). Dengan duit simpanan yang ada, saya laburkan semua untuk membeli lembu dan mula membekalkannya kepada penjual daging sekitar Jitra, Changlun dan Alor Setar,” katanya yang berasal dari Kampung Putat, Jalan Kodiang, di sini.
Sumber: Berita Harian
Bagaimanapun, Muhammad Aiman berkata, perniagaan itu tetap mempunyai cabarannya tersendiri apabila lembu-lembu yang diimport turut terdedah dengan penyakit kuku dan mulut, terutama ketika waktu puncak menjelang Aidiladha.
Katanya, dia difahamkan permintaan yang tinggi menyebabkan Thailand turut mengimport lembu dari Burma dan Vietnam, sekali gus menyebabkan risiko terdedah penyakit itu tinggi.
“Ini menyebabkan saya terpaksa kuarantin lembu berkenaan, malah ada sehingga sebulan sebulan sebelum ia sembuh. Pada masa yang sama, saya sentiasa bekerjasama dengan Pejabat Perkhidmatan Veterinar untuk memastikan lembu diimport dapat dijaga dengan baik.
“Bagi saya, cabaran ini banyak mengajar saya untuk menguruskan kewangan dan menjalankan perniagaan dengan lebih baik. Untuk masa depan, saya merancang meluaskan lagi perniagaan, selain tidak lagi menggunakan `orang tengah’ untuk mengimport lembu,” katanya.
Sumber: Berita Harian 

Post a Comment

0 Comments