Sumber: Instagram JAPEN Malaysia
Ia adalah momen yang membanggakan bagi Malaysia apabila Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah diberi penghormatan menyampaikan Syarahan Martin Allgower di Kongres Pembedahan Sedunia (WCS) ke-48 di Krakow, Poland pada Isnin.
Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebook rasminya rasa terharu diberi penghormatan untuk menyampaikan syarahan berprestij di kongres itu.
Kongres yang berlangsung dari 11 hingga 15 Ogos itu, anjuran Persatuan Pembedahan Sedunia (ISS) dan syarahan itu sempena memperingati Prof Martin Allgower, pakar bedah yang terkenal di peringkat antarabangsa, yang merupakan Pengerusi Jabatan Pembedahan, Universiti Basel pada 1967-1983.
Kongres itu menawarkan kecemerlangan saintifik dalam bidang pembedahan pada harga berpatutan, yang mengumpulkan ramai pakar terkemuka dunia, serta ia juga menyediakan platform untuk kumpulan kerja saintifik dan klinikal. .
Dr Noor Hisham yang membentangkan syarahan bertajuk, Difficult Thyroid Surgery - Primum Non Nocere, memberi penekanan dalam pembedahan tiroid, tidak boleh melakukan sebarang kesilapan yang boleh memudaratkan pesakit, lebih-lebih lagi dalam kes yang sukar malah doktor harus mengambil kira risiko. "Saya mengulangi bahawa pembedahan adalah komponen penting dalam kesihatan primer dan tiada Liputan Kesihatan Sejagat tanpa akses kepada perkhidmatan pembedahan dan anestesia yang selamat dan berpatutan,” katanya.
Dr Noor Hisham menyampaikan syarahan itu pada sebelah pagi dan pada sebelah petangnya beliau menjadi moderator pada sesi Senario Global dalam Pendidikan, Latihan & Etika bagi Pembedahan Payudara.
Beliau dijangka menyampaikan dua lagi syarahan di kongres itu pada Khamis berkaitan pembedahan global dan syarahan bertajuk, Endocrine Surgery Without the Bells and Whistles. “Selain bertindak sebagai moderator, saya juga membentangkan syarahan mengenai Pendidikan dan Latihan Pembedahan Global dalam Latihan Pembedahan Payudara dan Endokrin Malaysia serta piawaian Malaysian Standard (MS) bagi Latihan Pakar Perubatan Siswazah sebagai contoh khusus.
Sumber: BERNAMA


0 Comments