MENGIMBAS kembali zaman darurat, terbayang di fikiran kisah
duka dan penderitaan yang terpaksa dilalui oleh penduduk Tanah Melayu ketika
Parti Komunis Malaya (PKM) bermaharajalela melancarkan serangan untuk menguasai
Tanah Melayu melalui kekerasan. Kegagalan untuk bergiat sebagai parti politik,
menyebabkan PKM menukar strategi kepada perjuangan bersenjata hingga
menyebabkan rakyat hidup dalam kebimbangan dan ketakutan. Pembunuhan,
penyeksaan dan sabotaj dilakukan oleh PKM bertujuan menghancurkan ekonomi dan
melumpuhkan sistem perhubungan di Tanah Melayu.
Kemuncak kepada keganasan itu ialah pembunuhan tiga orang
ketua Kuomintang di Johor pada 12 Jun 1948, dan pembunuhan tiga orang pengurus
ladang getah yang berbangsa Eropah termasuk seorang pembantu ladang di Sungai
Siput, Perak, pada 16 Jun 1948. Rentetan daripada peristiwa tersebut, Darurat
diisytiharkan di Perak dan Johor pada 17 Jun 1948. Pada 12 Julai 1948, Sir
Alexander Theodore Newboult, Pegawai Tadbir Kerajaan, mengisytiharkan perluasan
Undang-Undang Darurat ke seluruh Tanah Melayu. Pengisytiharan ini telah
diwartakan dalam Warta Kerajaan bertarikh 13 Julai 1948. PKM diharamkan secara
rasmi pada 23 Julai 1948. Perluasan undang-undang ini memberikan kuasa yang
lebih kepada pihak polis dan tentera untuk menangkap dan menahan orang yang
disyaki terlibat dalam kegiatan subversif.
Dalam usaha membendung dan melemahkan kegiatan komunis,
kerajaan memperkenalkan beberapa rancangan di bawah Undang-undang Darurat.
Antara rancangan tersebut termasuklah penggunaan kad pengenalan oleh semua
penduduk Tanah Melayu yang berumur 12 tahun ke atas. Rancangan ini berjaya
mengesan dan mengehadkan pergerakan pengganas komunis. Pada 1950, Jeneral Sir
Horold Briggs memperkenal Rancangan Briggs. Rancangan penempatan semula
setinggan di kampungkampung baharu bertujuan memastikan penduduk dapat
diasingkan daripada pengaruh dan ancaman komunis. Taktik ini berjaya menyekat
bekalan makanan dan memutuskan perhubungan, maklumat, ubat-ubatan dan keanggotaan
baru kepada PKM. Penempatan semula setinggan ini melibatkan seramai 572 917
orang yang telah dipindahkan ke 480 buah kampung baharu (Jun 1950 hingga
Disember 1952).
Bagi mengekang pemberontakan komunis dan meningkatkan tahap
keselamatan negara, pasukan keselamatan diperkukuh dengan pembesaran pasukan
polis dan tentera. Antara pasukan yang ditubuhkan semasa berlakunya darurat
ialah Pasukan Mata-Mata Khas-SC (Special Constable), Polis Bantuan (Auxiliary
Police), Polis Cawangan Khas (Special Branch) dan Pengawal Kampung (Home
Guard). Tentera dari negara Britain, Australia, New Zealand, Fiji dan Afrika
Timur turut dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk membantu memerangi keganasan
komunis.
Kemuncak usaha kerajaan untuk mengatasi pemberontakan
bersenjata komunis ini adalah mengadakan rundingan damai dengan pihak komunis.
Rundingan ini diadakan dalam empat sesi di Sekolah Kerajaan (kini Sekolah
Kebangsaan Tunku Putra), Baling, Kedah pada 28 hingga 29 Disember 1955.
Rundingan ini bertujuan untuk menamatkan darurat. Rundingan ini juga merupakan
lanjutan daripada tawaran pengampunan berama-ramai yang diberikan oleh kerajaan
kepada angota PKM pada 9 September 1951. Dalam rundingan tersebut, pihak
kerajaan diwakili oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul
Rahman Putra; Ketua Menteri Singapura, Encik David Marshall serta Dato' Sir Tan
Cheng Lock. PKM pula diketuai oleh Setiausaha Agungnya, Chin Peng, dan dua lagi
ahli, iaitu Chen Tian dan Abdul Rashid Maidin. Namun begitu, rundingan ini
berakhir tanpa sebarang persetujuan daripada pihak komunis kerana mereka
berniat untuk mendapatkan kebebasan politik bagi mencapai cita-cita mereka.
Walaupun darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960 oleh
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan
Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaeidin Sulaiman Shah, namun
saki-baki anggota PKM masih belum dapat dihapuskan sepenuhnya. Saki-baki
anggota komunis ini berundur ke sempadan Malaysia – Thailand. Mereka mengumpul
kekuatan untuk melancarkan semula pemberontakan bersenjata dengan matlamat yang
sama, iaitu menumbangkan kerajaan dan menubuhkan Republik Komunis di Tanah
Melayu. Pemberontakan bersenjata yang dilancarkan semula ini telah mencetuskan
darurat kedua di Malaysia pada tahun 1968 hingga 1978. Keterangan dasar yang
dikeluarkan oleh PKM pada bulan Jun 1968, menjelaskan sikap PKM, yang mahu
melakukan perjuangan secara keganasan bersenjata. Strategi yang digunakan oleh
PKM antara lain melibatkan penyusupan semula unit penggempur ke Semanjung
Malaysia bagi menguasai semula kawasan tradisi mereka dan seterusnya melakukan
pemberontakan.
Pemberontakan bersenjata PKM ini di mulai dengan menyerang
beberapa sasaran pasukan keselamatan. Serangan ini bertujuan untuk
memperlihatkan kesungguhan PKM dalam memulakan semula pemberontakan
bersenjatanya. Antara serangan yang telah dilakukan oleh pengganas komunis ini
termasuklah serangan hendap terhadap satu konvoi pasukan keselamatan pada 17
Jun 1968. Dalam serangan tersebut, konvoi Batalion Pertama, Pasukan Polis Hutan
(PPH) Ulu Kinta, Perak telah diserang hendap oleh penggans komunis berhampiran
kawasan sempadan Kroh (Perak) dan Betong (Thailand). Dalam kejadian tersebut,
tiga buah kenderaan polis mengalami kerosakan teruk, 16 orang anggota Pasukan
Polis Hutan terbunuh dan 17 orang anggota lagi mengalami kecederaan.
PKM juga bukan sahaja memperhebatkan gerakan ketenteraanya
di hutan belantara, malahan memasuki bandar dan melakukan pelbagai sabotaj dan
kemusnahan. Antara yang menjadi sasaran utama pengganas komunis termasuklah
kerja pembinaan Lebuh Raya Timur – Barat sepanjang 85 kilometer yang
menghubungkan Gerik, Perak dan Pasir Puteh, Kelantan. Kerajaan mengalami
kerugian berjuta-juta ringgit apabila banyak jentera dan kelengkapan pembinaan
diletupkan serta dimusnahkan.
Pada 26 Ogos 1975, ibu kota Kuala Lumpur dikejutkan dengan
serangan pengeboman Tugu Negara diikuti serangan ke atas Kem Pasukan Polis
Hutan (PPH) di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur. Dalam serangan tersebut seramai
dua anggota PPH terbunuh serta mencederakan 41 anggota yang lain.
Pengganas komunis juga bertindak lebih agresif dan ganas
dengan melakukan siri pembunuhan ke atas anggota pasukan keselamatan. Antara
keganasan yang dilakukan termasuklah membunuh pegawai dan anggota Cawangan Khas,
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abd. Rahman Hashim pada 6 Jun 1974 dan Ketua Polis
Kontinjen Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong pada 13 November 1975 di Ipoh, Perak.
Perang gerila yang dicetus oleh PKM pada tahun 1968
berlarutan selama 21 tahun. Namun, titik noktah bagi pemberontakan ini dicapai
pada tahun 1989 apabila PKM menyambut seruan damai yang diusahakan oleh pihak
kerajaan Thailand dengan kerjasama pihak Kerajaan Malaysia. Lanjutan daripada
rundingan yang dijalankan selama hampir setahun, pada 2 Disember 1989,
Perjanjian Damai telah dimeterai antara PKM dengan Pihak Kerajaan Malaysia; dan
PKM dengan kerajaan Thailand. Berdasarkan kepada perjanjian ini, PKM bersetuju
menamatkan pemberontakan dan memusnahkan senjata serta membubarkan pasukan
senjatanya. Selain itu, PKM juga memberikan jaminan kepada Kerajaan Malaysia
dan Kerajaan Thailand untuk menghormati undang-undang kedua-dua negara.
Dalam upacara menandatangani Perjanjian Damai yang diadakan
di Hotel Lee Gardens, Haadyai, Thailand ini, PKM diwakili oleh Pengerusinya,
Abdullah C.D, Chin Peng dan anggota majlis pusat, Abdul Rashid Maidin. Kerajaan
Malaysia diwakili Ketua Setiausaha Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul
Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Haniff Omar dan Panglima Angkatan
Tentera, Jeneral Tan Sri Hashim Mohd. Ali. Kerajaan Thailand pula diwakili oleh
Timbalan Pengarah Operasi Dalam Negeri, Jeneral Tan Sri Vhabalit Yongchaiyudh;
Pengarah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah Empat, Lefternan Jeneral
Yoodhana Yampundhu; Ketua Pengarah Jabatan Polis Diraja Thailand, Jeneral Polis
Saweang Therasawat dan Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri, Encik Anek
Sithip Rasasana. Perjanjian damai dan pembubaran Pasukan Komunis Malaya (PKM)
ini merupakan lambang kejayaan kerajaan dan pasukan keselamatan dalam menangani
perjuangan bersenjata PKM.
Sesungguhnya kejayaan ini menyumbang kepada kestabilan,
kesejahteraan dan kemakmuran negara. Oleh sebab itu, nikmat kemerdekaan,
keamanan dan keharmonian yang dikecap kini wajarlah disyukuri. Namun begitu,
usahlah kita alpa dan leka serta beranggapan ancaman tidak lagi wujud pada masa
sekarang dan akan datang.
"Kegagalan memandang ke hadapan memungkinkan kita
terperangkap ke dalam situasi yang sukar". Begitulah catatan bekas
Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato' Seri Md. Hashim Hussein, pada 23 Julai
1999 (dipetik dari buku Tentera Darat Menentang Insurgensi Komunis 1968-1989).
Pasukan wanita pengawal kampung menjalankan latihan untuk
mengawal sawah – sawah mereka di dalam masa darurat.
Penunjuk-penunjuk perasaan menentang fahaman
komunis di seluruh negara.
Sumber: Arkib Negara
0 Comments