KETAHUI JUMLAH WANG YANG BOLEH DIJIMAT DENGAN PENGURANGAN TOL

Sumber: BERNAMA
Sudah menjadi kebiasaan buat Muhammad Nazri Ismail berulang alik dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur menaiki kereta pada setiap hujung minggu untuk bertemu isteri dan anak-anaknya, dan ia bukan hanya menuntut masa dan tenaga, malah wang ringgit.
Muhammad Nazri, 39, yang memperuntukkan lebih RM400 sebulan hanya bagi bayaran tol, kini berasa lebih tenang susulan pengurangan kadar tol 18 peratus di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), yang memberikan pekerja swasta itu lebihan wang, hasil pengurangan bayaran tol untuk digunakan membiayai keperluan lain.
“Saya bekerja di Kuala Terengganu manakala isteri bekerja di Kuala Lumpur jadi, pada setiap Khamis saya akan pulang ke Gombak untuk bertemu isteri dan anak-anak dan pulang semula ke Kuala Terengganu pada malam Sabtu atau awal pagi Ahad. Ada juga beberapa rakan lain yang mengalami nasib sama, duduk berjauhan daripada keluarga,” katanya kepada Bernama hari ini.
Dengan pengurangan berkenaan, kadar tol perjalanan dari Kuala Terengganu ke Gombak ialah RM48.77 sehala berbanding RM52.80 sehala sebelum ini.
Walaupun memperoleh penjimatan hanya kira-kira RM32 sebulan, Muhammad Nazri berkata ia boleh menampung sedikit kos petrol bagi perjalanannya itu.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5) bermula hari ini di Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), LPT 2, Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.
Di NEGERI SEMBILAN, pengguna SPDH Nur Amirah Mohd Rosli, 33, berkata pengurangan kadar tol itu memberikannya penjimatan RM25.22 sebulan yang akan dijadikan sebagai tabungan.
“Walaupun pengurangan yang tidak begitu ketara dengan RM1.16 bagi dua hala, tetapi ia sangat bermakna bagi saya,” kata pekerja hotel itu yang berulang alik dari kediamannya di Seremban ke Port Dickson.
Pekerja swasta, R. Logeshwaran, 28, pula merancang menambah bayaran skim insurannya bagi meningkatkan jumlah liputan hasil penjimatan daripada pengurangan kadar tol tersebut
Di JOHOR, pekerja kilang di Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Dressa, 53, berkata penjimatan wang daripada pengurangan tol berkenaan boleh digunakan untuk membeli makanan sebagai bekal di tempat kerja.
“Ini sesuatu yang sangat dinantikan kami yang kerap menggunakan laluan bertol, seperti di Plaza Tol Perling (LINKEDUA) sebelum ini RM2.30 dan sekarang tinggal RM1.88,” katanya.
Di KEDAH, pengguna BKE, Nor Ameera Nawi, 30, berkata pengurangan tol itu dapat mengurangkan kos pengangkutan dari rumahnya di Baling ke Seberang Jaya, Pulau Pinang sekali gus dapat digunakan untuk memenuhi kelengkapan rumahnya.
“Memang terasa juga setiap kali bayar tol tetapi bila ada pengurangan ini, sedikit sebanyak duit itu boleh digunakan bagi tujuan lain terutamanya membeli kelengkapan rumah kerana saya baru sahaja mendirikan rumah tangga akhir Disember tahun lalu,” kata penjawat awam itu.
Di PULAU PINANG, seorang pengguna Jambatan Pulau Pinang, Goh Kap Seng, 55, berkata dia menggunakan jambatan itu hampir tiga minggu setiap bulan untuk membuat penghantaran kepada pelanggannya di tanah besar Pulau Pinang.
Katanya tambahan pengurangan kadar tol itu telah membantu meringankan bebannya walaupun ia hanya berkurangan RM1 daripada jumlah sebelum ini.
“Bagi sesetengah orang, jumlah itu mungkin agak kecil, tetapi bagi seseorang yang menyeberangi Jambatan Pulau Pinang hampir setiap hari, ia benar-benar bermanfaat bagi kami,” katanya.
Bagi manfaat penduduk dan warga kerja di Pulau Pinang yang sebelum ini menikmati diskaun 20 peratus daripada RM7, akan terus menikmati diskaun 18 peratus itu.
sumber: bernama & jabatan penerangan malaysia

Post a Comment

0 Comments