Koronavirus (2019-nCoV) bukan sahaja mencetuskan
darurat kesihatan awam seperti mana yang diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO), tetapi turut menimbulkan Xenofobia dan isu perkauman di seluruh
dunia.
Sebelum ini, ada beberapa virus menakutkan yang
tersebar ke serata dunia. Virus Ebola yang tersebar melalui Afrika Barat
contohnya tidak mempunyai vaksin atau rawatan penyembuhan. Selain Ebola, ada
virus Rabies menular di India dan sebahagian Afrika yang menyerang haiwan
peliharaan. Jika seseorang digigit oleh haiwan peliharaan yang dijangkiti
Rabies lalu tidak mendapatkan rawatan, individu itu pasti meninggal dunia.
Tapi, ketika itu tidak pernah isu perkauman
ditimbulkan seperti mana masyarakat dunia memandang dan menerima Koronavirus yang datang
dari China. Banyak laporan berita dari serata dunia memperlihatkan pelbagai reaksi
masyarakat setempat terhadap virus ini hingga ada sesetengah daripada
masyarakat China yang belajar, menetap atau melancong di negara lain menyatakan
layanan berbeza diterima serta turut dipinggirkan.
Semuanya bermula dengan penularan video dan foto
warga China menikmati hidangan sup kelawar. Kemudian, berita Koronavirus
menyerang warga China khususnya di Hubei sampai ke warganet. Pengarah Pusat
Pencegahan dan Kawalan Penyakit China, Gao Fu pula menyatakan kemungkinan
Koronavirus tersebar melalui haiwan liar dan eksotik seperti buaya, salamander
gergasi, ular, tikus dan burung merak yang dijual di pasar makanan laut. Ini
mencetuskan pelbagai reaksi hinggalah Xenofobia dan isu perkauman muncul di
celah-celah kemelut Koronavirus.
Xenofibia bermaksud perasaan yang sangat takut atau
benci terhadap orang asing. Sejak penularan Koronavirus, sikap takut atau benci
terhadap pelancong China sangat berlebihan melalui kenyataan masyarakat di
media sosial. Sesetengahnya pula mengaitkan penduduk tetap China dengan
masyarakat Cina di Malaysia. Perkara ini merupakan satu hal yang tidak patut
dan rasis.
Pihak tidak bertangungjawab ini ibarat gunting
dalam lipatan yang cuba mewujudkan perasaan benci, ketegangan kaum dan mengkucar-kacirkan
keamanan negara. Sesetengahnya pula melemparkan mesej-mesej negatif terhadap
DAP yang digambarkan sebagai sebuah parti politik Cauvanis (walaupun tiada
kaitan).
“Elak pergi mall. Yang penting nampak sepet auto
elak, terus tutup mulut dan hidung.” Ini merupakan salah satu komen diambil daripada
‘page’ Facebook DAP yang berkongsikan peringatan untuk melindungi diri daripada
Koronavirus. Kerajaan melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan masyarakat
peka terhadap isu Koronavirus. Namun dapat dilihat ada ‘tangan jahat’ berusaha menyuntik
isu perkauman dan ini pastinya menyukarkan kerajaan menangani operasi penularan
Koronavirus.
Usaha Kementerian Kesihatan Malaysia yang diterajui
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan seluruh tenaga kerja yang terlibat dalam
mencegah virus ini daripada terus merebak perlu dipuji. Usah sukarkan lagi
tugas mereka dengan permainan kotor membisikkan suara halus yang boleh mencetus
perselisihan kaum dan Xenofobia di negara ini.


0 Comments