(SURAT KEPADA ADMIN) - Bila UFO Akhirnya Mendarat...

Antara lukisan politik yang pernah menarik perhatian saya suatu ketika dahulu adalah hasil lukisan Amin Landak dalam ruangan Yak Bok Te di Malaysiakini. 

Dalam lukisan itu, sebuah UFO (objek terbang yang tidak dikenali) dengan tulisan BERSATU, menarik naik menggunakan 'tractor beam', beberapa individu dari apa yang kita nampak sebagai Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menara Dato Onn diketahui ramai, amat sinonim dengan parti UMNO.

Lukisan yang disiarkan pada November 2018 itu saya lihat sebagai satu bentuk humor yang sangat penting dalam mendokumentasikan apa yang berlaku ketika itu -- kemasukan pemimpin-pemimpin UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Apa yang menjadikan kartun itu signifikan adalah perlambangan Bersatu itu menggunakan UFO. Orang kebanyakan melihat UFO sebagai sebuah objek dari dunia berbeza yang datang ke dunia ini. 'UFO BERSATU' adalah dari Pakatan Harapan (PH) manakala orang-orang Menara Dato Onn dari Barisan Nasional (BN).

Pendapat saya, ini melambangkan kedua-dua Bersatu dan UMNO sebagai dua entiti politik berbeza dan saling bertentangan dari segi pendapat. Umpama air dan minyak, saling tidak boleh bersatu.

Manakan tidak, Bersatu ketika berada dalam PH, secara konsisten berkempen agar rakyat menolak rejim kleptokrat UMNO dan BN.

Atas sebab itulah, isu kemasukan pemimpin-pemimpin UMNO ke dalam Bersatu setelah kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14, menjadi bahan buah mulut ramai. Ada yang mempersoalkan keterbukaan Bersatu dalam menerima pemimpin-pemimpin parti lawan mereka.

Walau bagaimanapun, Bersatu pada ketika itu telah menegaskan, kemasukan ahli Parlimen UMNO yang ditapis ke dalam parti itu akan mengukuh parti itu dan PH.

Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad berulang kali menegaskan untuk tidak membenarkan hubungan bersama UMNO secara en bloc. Ini bermakna, UMNO sebagai parti tidak boleh bekerjasama dengan Bersatu. Secara jelas, PH telah bertungkus lumus berusaha menentang UMNO pada PRU-14.

Sehingga ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir secara tegas tidak mahu UMNO sebagai parti komponen tetapi boleh menerima ahli yang 'tidak berpuas hati' dengan parti tersebut.

Namun begitu, sepertimana pernah dijelaskan Dr Mahathir juga, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin 'lebih relaks' dalam soal kerjasama Bersatu-UMNO ini.

Sebab itu, kini Bersatu berpecah dan Muhyiddin hari ini memimpin Perikatan Nasional yang terdiri daripada gabungan pecahan Bersatu, Barisan Nasional, PAS serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menjadi kerajaan.

Ini berbeza dengan pendirian yang pernah ditekankan Muhyiddin ketika berucap semasa ulang tahun pertama parti itu yang antara lain menekankan, mana-mana parti yang bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasaional sebenarnya bersubahat dengan segala perlakuan mugkar dan penindasan yang dilakukan oleh pemimpin parti itu.

Kini, Bersatu yang digambarkan oleh lukisan Amin Landak sebagai UFO sebelum ini itu, telah 'mendarat' di bangunan UMNO dan kedatangan mereka dialu-alukan oleh kepimpinan UMNO bersama rakan-rakannya.

Mereka kini bekerjasama dalam satu pasukan. Persoalan timbul, adakah kerjasama itu kukuh dan berpanjangan? Itu kita tunggu dan lihat.

Post a Comment

0 Comments