(SURAT KEPADA ADMIN) - Jangan sekali-kali khianati rakyat


"Kuasa yang diamanahkan oleh rakyat kepada kita adalah untuk memperbaiki apa yang telah rosak dan memperbetul apa yang salah, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.
"Kita juga perlu tanya kepada diri kita apakah kita akan terus mendapat mandat rakyat jika mereka melihat kita berterusan bertelagah kerana berebut kuasa, tanpa sedar kerana kita berebut-rebut itulah kita akan hilang kuasa.
"Kepada kesemua ahli dan pemimpin-pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) – Keadilan, Bersatu, DAP dan Amanah – kita perlu bertekad untuk bekerja seberapa mampu yang boleh untuk memajukan negara ini dan mempermudahkan hidup rakyat.
"Ini satu amanah dan apabila kita sudah tidak ada kuasa atau berhenti memegang kuasa, ukuran rakyat ialah samada kita telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah mereka serah kepada kita."
Demikian pesanan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berucap sempena majlis temu rapat pimpinan Keadilan Pusat, PKR di Negeri Sembilan pada 19 Julai tahun lalu.

Pesanan itu menyeru parti-parti komponen PH yang mentadbir negara ketika itu, untuk bermuafakat dalam meneruskan usaha keras bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara ini terus terjamin.
Mandat kuasa dari rakyat menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perlu dipenuhi kerajaan dengan melaksanakan usaha-usaha bagi melonjakkan prestasi negara sekali gus meletakkannya di landasan betul sebaris negara-negara maju lain.

Dr. Mahathir turut melontarkan persoalan sama ada rakyat akan terus memberikan mandat sekiranya PH terus bertelagah akibat perebutan kuasa. Persoalan ini menunjukkan betapa buruknya virus perebutan kuasa yang dilihat boleh menghakis kepercayaan rakyat secara signifikan terhadap PH.

Pokoknya, sesebuah gabungan politik yang memerintah negara seperti PH perlu menggunakan penggal yang dimilikinya untuk berkhidmat kepada rakyat, dan mengelakkan daripada terjerat dengan percaturan kuasa yang kelak membawa kerugian kepada rakyat keseluruhan.

Justeru, perbuatan beberapa bekas pemimpin dan ahli Parlimen PH  yang cuba menubuhkan sebuah kerajaan pintu belakang untuk menggantikan kerajaan sedia ada yang telah dipilih secara demokratik, perlu dikutuk.

Perbuatan ini secara jelas akan menjejaskan usaha kerajaan untuk menangani isu ekonomi dan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat biasa dan perniagaan.

PH di bawah kepimpinan Dr. Mahathir perlu terus diberi peluang untuk memenuhi janji-janji dalam manifesto pilihan rayanya.

Suara rakyat ialah suara keramat. Mandat yang diberikan rakyat kepada PH pada pilihan raya lalu perlu dihormati dan diberikan keutamaan setinggi-tingginya. Penolakan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) yang membawa kepada kemenangan PH memberi indikasi jelas bahawa rakyat secara majoritinya menolak kepimpinan yang digelar kleptokrat atau pencuri wang negara oleh dunia.

Rakyat tanpa gentar, telah menolak kerajaan terdahulu dan memberi mandat yang besar kepada PH bagi membuka ruang kepada usaha memulihkan semula negara tercinta ini.

Namun begitu, usaha pemulihan itu seolah-olah terhenti ekoran percubaan pembentukan kerajaan pintu belakang ini. Lebih-lebih lagi apabila pihak yang terpalit dengan tuduhan korupsi ini disebut-sebut akan menganggotai gabungan kerajaan pintu belakang ini.

Adakah ini bermakna semua usaha rakyat untuk menolak pihak ini pada pilihan raya umum lalu kini menjadi sia-sia?

Sebab itu prinsip tegas Dr. Mahathir ketika ini yang menolak kerjasama dengan UMNO, yang dikatakan terbabit dengan amalan-amalan rasuah yang telah menyebabkan negara dilabel sebagai 'kleptokrasi global terburuk', perlu dihormati.

Ini merupakan kali pertama seorang perdana menteri Malaysia bersedia meletakkan jawatan atas prinsip untuk menegakkan integriti dan melawan rasuah.

Secara kesimpulannya, rakyat kini sedang memerhati tindak-tanduk ahli-ahli politik ini. Rakyat akan memastikan bahawa sebarang tindakan yang mengkhianati mandat yang diberikan mereka, akan mendapat balasan kelak termasuk diterjemahkan dalam bentuk keputusan pada pilihan raya umum selepas ini.

Post a Comment

0 Comments