Tender Terbuka Yang Kompetitif Dan Belanjawan Asas-Sifar Memberikan Kesan Positif Kepada Kewangan Kerajaan, Membolehkan Perbelanjaan Pembangunan Ditingkatkan Sebanyak 13% Atau RM2.4 Bilion Untuk 5 Bulan Pertama 2019

Sumber: Kementerian Kewangan

Tender terbuka yang kompetitif dan belanjawan asas-sifar memberikan kesan positif kepada keadaan kewangan Kerajaan, dan membolehkan perbelanjaan pembangunan dinaikkan setinggi 13% atau RM2.4 bilion untuk 5 bulan pertama 2019, berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018.
Untuk 5 bulan pertama 2019, Kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal sebanyak 39% kepada RM21.4 bilion daripada RM35.0 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas. Walau bagaimanapun, Kerajaan menyedari perbelanjaan subsidi yang ditanggung, dan akan terus menguruskan perbelanjaan secara berhemat. Tambahan lagi, Kerajaan telah mengurangkan defisit akaun semasa kepada RM1.1 bilion untuk tempoh Januari-Mei 2019, iaitu suatu penurunan sebanyak 94% atau RM16 bilion, daripada jumlah defisit yang besar iaitu RM17.1 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu (Jadual 1).
Jadual 1: Prestasi fiskal Kerajaan untuk tempoh 5 bulan pertama 2019 dan 2018
PerkaraJan-Mei 2019
(A) 
Jan-Mei 2018
(B) 
Perbezaan
(A)-(B)
Pendapatan105.4 92.7 12.7 
Perbelanjaan mengurus 106.5109.9 -3.3 
Imbangan akaun semasa -1.1 -17.116.0
Perbelanjaan pembangunan (bersih) 20.317.9 2.4
Imbangan fiskal -21.4-35.0 13.6 
Usaha konsolidasi fiskal yang berjaya adalah antara faktor-faktor yang meyakinkan agensi penarafan kredit antarabangsa Fitch Ratings untuk mengesahkan semula penarafan kredit berdaulat pada A- dengan unjuran stabil pada 18 Julai 2019. Ini berikutan pengesahan semula yang sama oleh S&P Global Ratings pada 3 Julai 2019. Disiplin fiskal telah pun diketatkan dengan gabungan kawalan lebih ketat terhadap perbelanjaan mengurus, melalui penggunaan tender terbuka yang kompetitif dengan lebih meluas serta pengenaan belanjawan asas-sifar. Selain itu, langkah-langkah pembaharuan pendapatan dan perbelanjaan lain yang telah dinyatakan dalam Belanjawan 2019 juga telah membantu dalam memulihkan kewangan Kerajaan. 
Seperti yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2019, Kerajaan bercadang untuk membelanjakan RM259.9 bilion untuk tujuan pengurusan tahun ini. Perbelanjaan sebanyak RM106.5 bilion untuk perbelanjaan mengurus dalam tempoh Januari-Mei 2019 merupakan 41.0% daripada jumlah yang telah diperuntukkan (Jadual 2).
Jadual 2: Prestasi fiskal sehingga Mei 2019 berbanding Belanjawan 2019
 Perkara Jan-Mei 2019
(A) 
 Belanjawan 2019
(B)
 Prestasi semasa
(A/B)
Pendapatan105.4261.840.3% 
Perbelanjaan mengurus 106.5259.9 41.0%
Perbelanjaan pembangunan (bersih)20.354.037.6%
Berdasarkan kepada prestasi fiskal semasa, Kerajaan yakin dapat mencapai sasaran defisit fiskal 3.4% berbanding KDNK, sambil memastikan imbangan akaun semasa berada dalam keadaan lebihan untuk tahun 2019. Malah sekiranya tiada perang perdagangan antara dua rakan dagang Malaysia yang terbesar, iaitu Amerika Syarikat dan China, Kementerian Kewangan percaya Kerajaan akan dapat mencapai sasaran defisit serendah 3.0% berbanding KDNK bagi tahun 2020.
Kerajaan yakin ekonomi negara akan berkembang secara mampan pada tahun ini dan tahun 2020. Bank Dunia mengunjurkan KDNK negara akan tumbuh 4.6% untuk tahun ini, dan ini disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh walaupun negara berhadapan dengan cabaran luaran berasal daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China. Dalam bulan Mei 2019, indeks pengeluaran perindustrian Malaysia tumbuh 4.0% tahun-ke-tahun, mengatasi konsensus pasaran sebanyak 3.5% seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg. Eksport bagi Mei 2019 pula berkembang 2.5% tahun-ke-tahun dan ia juga mengatasi jangkaan pasaran.
Pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan bagi semua sektor meningkat 73.4% kepada RM29.3 bilion dalam suku pertama 2019 daripada RM16.9 bilion setahun lalu. Pertumbuhan ini dipacu oleh peningkatan 127% dalam FDI pembuatan yang diluluskan kepada RM20.2 bilion dalam suku pertama 2019, daripada RM8.9 bilion setahun lalu. Jualan kenderaan untuk 5 bulan pertama 2019 meningkat 13% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Pada masa yang sama, kadar pengangguran telah turun kepada 3.3% dalam bulan Mei 2019 daripada 3.4% dalam bulan sebelumnya.
Kerajaan berada di landasan yang betul untuk memulihkan kembali keadaan kewangan Kerajaan selewat-lewatnya pada tahun 2021. Dengan sokongan rakyat, Malaysia berpotensi besar untuk menyelesaikan masalah legasi hutang dan liabiliti yang tinggi serta kegagalan tadbir urus yang ditinggalkan oleh pentadbiran lama.
Sumber: Kementerian Kewangan

Post a Comment

0 Comments