LANGKAWI: Siaran televisyen di Malaysia akan beralih kepada digital sepenuhnya mulai 30 September ini selepas 56 tahun beroperasi secara analog.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata pihaknya yakin rakyat Malaysia sudah bersedia dan menerima baik peralihan kepada siaran televisyen digital (TV Digital) ini.
Beliau berkata, berbekalkan kejayaan siaran rintis di Langkawi bermula 21 Julai lalu, kerajaan bakal memperluaskan siaran TV Digital ke seluruh negara secara berperingkat.
“Selepas Langkawi, peralihan rintis seterusnya akan dibuat di kawasan Tengah dan Selatan pada 19 Ogos, diikuti Utara (2 September) dan Timur (17 September).
“Bagi penduduk Sabah dan Sarawak mereka akan menikmati siaran TV Digital sepenuhnya bermula 30 September ini,” katanya selepas Majlis Pengumuman Peralihan Siaran TV Analog Ke Siaran TV Digital Seluruh Negara di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Ahmad; Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Syed Junid dan Pengerusi myFreeView, Johan Ishak.
Gobind berkata, sepanjang siaran rintis itu, pelbagai kempen pendidikan dan kesedaran berkaitan siaran TV Digital diberikan kepada orang ramai.
“Siaran TV Digital myFreeview menawarkan pelbagai saluran secara percuma dengan resolusi serta kualiti gambar dan bunyi yang lebih jelas secara definisi standard (SD) dan definisi tinggi (HD).
“Malaysia adalah negara ketiga di rantau ASEAN selepas Brunei dan Singapura mengambil langkah menutup siaran analog dan beralih kepada TV Digital sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 15 saluran televisyen dan enam saluran radio boleh didapati di platform TV Digital myFreeview yang disediakan oleh Radio Televisyen Malaysia, Media Prima, TV AlHijrah, dan Bernama News Channel.
Sumber: Berita Harian
0 Comments