Selain serunding daging dan ayam, kini ada serunding jantung pisang!

Sumber: Berita Harian

TEMERLOH: Rasanya enak dan mampu disimpan lebih tiga bulan serta tiada bahan pengawet menjadi kelebihan serunding jantung pisang hasil inovasi pelajar Kolej Vokasional Puteri Temerloh, di sini.
Hartini Hardipa, 19, berkata dia mengambil masa kira-kira tujuh bulan melakukan penyelidikan dibantu guru Laila Othman sebelum berjaya menghasilkan produk tradisional itu yang turut dapat mencegah penyakit diabetes.
Katanya, sebelum ini jantung pisang hanya dijadikan ulam selepas dicelur beberapa minit, namun kini ia dipelbagai guna bertujuan menambah selera.
“Tidak semua jantung pisang boleh dijadikan serunding, hanya beberapa jenis sahaja antaranya jantung pisang raja dan pisang nipah kerana ia tidak kelat.
“Lima proses perlu dilakukan bagi menghasilkan produk berkenaan yang turut dicampur dengan beberapa jenis rempah ratus termasuk bawang, lada dan serai,” katanya yang berasal dari Kampung Melayu, Gambang Kuantan.
Beliau berkata demikian selepas menyertai Innovative Creative Competition TVET 2019 (ICC TVET ‘19) peringkat negeri di Kolej Komuniti Temerloh.
Katanya, harga yang jauh lebih murah turut menjadi kelebihan terhadap produk berkenaan berbanding serunding daging dan ayam sememangnya sudah terkenal sejak beratus tahun lalu.
Hartini yang meminati bidang masakan berkata, inovasi serunding jantung pisang yang dihasilkan memberi peluang kepada individu yang tidak makan serunding daging dan ayam merasa produk berkenaan kerana rasanya hampir sama.
Katanya, idea menghasilkan serunding jantung pisang kerana pada jantung pisang terdapat banyak khasiat selain ingin memastikan produk berasaskan jantung pisang dapat disimpan lebih lama tanpa mengubah rasa dan keenakannya.
“Produk serunding jantung yang pertama dihasilkan turut dapat membantu pekebun pisang untuk memasarkan hasil pertanian mereka secara berterusan selain dapat menambah pendapatan.
“Saya yakin produk serunding jantung pisang mampu menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa terutama negara Timur Tengah yang meminati makanan mengandungi rempah ratus.
“Serunding jantung pisang dijual dengan harga RM6 bagi 200 gram,” katanya yang turut yakin produk berkenaan dapat membantu merawat penyakit gastrik.
Sumber: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments