Sumber: Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KERAJAAN tidak bercadang untuk mengenakan sebarang cukai baharu dalam pembentangan belanjawan yang akan datang.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia termasuklah cukai warisan yang dikatakan akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2020.
“Kerajaan tidak bercadang untuk mengenakan sebarang cukai baharu pada pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober nanti.
“Sekiranya kerajaan mahu melaksanakan cukai baharu itu, ia bukanlah dalam kadar segera.
“Buat masa ini tiada sebarang cukai baharu akan diperkenalkan pada masa hadapan dan ia termasuklah cukai warisan ini,” katanya selepas merasmikan Persidangan Percukaian Kebangsaan 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Lim berkata, kerajaan akan memperkenalkan pelan kontigensi bagi berdepan dengan hal luar jangka sekiranya Malaysia terkesan dengan kemelut perang dagang antara Amerika Syarikat dan China.
Pelan luar jangka itu akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2020 sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya pertikaian perdagangan itu semakin buruk.
“Jadi, kerajaan akan mewujudkan pelan atau satu pakej bagi hal luar jangka untuk melindungi Malaysia daripada apa-apa kesan buruk dari pertikaian perdagangan ini.
“Bagaimanapun, terdapat juga jangkaan bahawa pertikaian perang dagang ini dapat berakhir pada hujung tahun ini.
“Apapun, kerajaan masih perlu mengambil pendekatan tunggu dan lihat yang mana pelan kontingensi atau luar jangka ini adalah penting untuk dilaksanakan,” katanya.
Sumber: Harian Metro
0 Comments