Tingkatkan pendapatan, Jadi tokey durian

Sumber: Usangkingdurian
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yakin dapat meningkatkan kualiti dan pengeluaran durian Musang King bagi memenuhi permintaan dari China.

Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata untuk mencapai sasaran tersebut pihaknya telah merancang pelbagai strategi termasuk membantu pekebun membangunkan kawasan tanaman dan membina pusat pemprosesan.

Bercakap kepada pemberita pada majlis pelancaran jualan ‘Hari Durian’ dan Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di pejabat FAMA di sini hari ini, Ishak berkata rancangan lima tahun itu bertujuan memenuhi permintaan terhadap 'raja buah' itu sebanyak 10 peratus bagi pasaran di China.

Ketika ini, Malaysia hanya mampu memenuhi satu peratus permintaan dari negara tersebut dengan nilai eksport sebanyak RM9.45 juta pada tahun lepas.

"Pada Jun baru-baru ini, Malaysia telah mendapat kebenaran mengeksport buah durian sejuk beku ke China...sebelum ini kita hanya boleh eksport dalam bentuk ulas dan pes sahaja dan dengan perkembangan ini, kita jangka ia akan meningkatkan nilai eksport sekurang-kurangnya 30 peratus ke China pada akhir tahun ini," katanya.

Ketika ini, produk durian Malaysia telah berjaya dipasarkan di tujuh wilayah di China iaitu di Beijing, Shenzen, Shanghai, Chendu, Nanning, Chongqing dan Ghuanzhou.

Ishak berkata setakat in, terdapat 31 tempat pemprosesan durian di Malaysia yang telah mendapat kebenaran bagi kategori durian sejuk beku (ulas dan pes) serta lima syarikat pemprosesan buah durian sejuk beku ke pasaran China.

"Kita akan bantu pengusaha durian untuk memasarkan produk mereka agar mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh negara-negara pengimport durian Malaysia...apa yang penting ialah jaga kualiti durian yang ditanam kerana durian Malaysia telah diiktiraf terbaik oleh banyak pihak di luar negara," katanya.

Sumber: Bernama.com

Post a Comment

0 Comments