Imej: Kok How dan Mohd Zairi
PULAU PINANG, 12 Sept — Tanpa diduga, bermula daripada sebuah kemalangan kecil bertukar menjadi persahabatan melibatkan dua kaum; Melayu dan Cina.
Semuanya bermula apabila lelaki Cina yang terlibat dalam kemalangan menggunakan pendekatan berhemah dan rasional dalam menyelesaikan masalah.
Malah pemilik Toyota Vellfire yang membawa pemandu lori Mohd Zairi Abdullah ke restoran nasi kandar mengagumkan orang ramai di saat negara heboh isu salah faham antara kaum.
“Ketepikan emosi apabila mahu menyelesaikan masalah, kalau tidak ia hanya membawa kepada pergaduhan.
“Negara kita juga berbilang kaum, jangan jadikan ia sebagai isu perkauman. Negara pasti aman,” kata Ng Kok How, 42, kepada mStar Online.
Menyingkap kejadian, Ng berkata kemalangan berlaku minggu lalu di Sungai Nibong di sini apabila kereta miliknya tidak sengaja dilanggar lori dipandu Mohd Zairi.
“Dekat lampu isyarat, tiba-tiba ada kereta di hadapan brek kecemasan dan tiba-tiba ada bunyi kuat dari arah belakang, dan saya sudah dapat agak kereta saya kena langgar,” katanya.
Ng berkata dia terkejut namun mampu menenangkan diri dengan mengawal pernafasan sebelum keluar dari keretanya untuk memeriksa keadaan.
Imej: Kemalangan antara pemandu lori dan kereta Toyota Vellfire
Perunding kewangan tersebut mendapati kerosakan kecil dan boleh diselesaikan menerusi tuntutan insurans tanpa melibatkan sebarang pergaduhan.
Beliau sedar kecuaian Mohd Zairi tidak perlu diperbesar kerana akan menambahkan lagi beban kepadanya.
“Dia pemandu lori dan saya tahu itu kenderaan syarikatnya. Kalau saya marah, nanti dia akan kena marah dengan majikan sebab rosakkan kereta syarikat.”
“Berapa kali dia nak kena marah? Saya letakkan diri saya dalam diri dia. Jadi, saya kata lebih baik buat laporan polis untuk tuntutan insurans,” kata Ng, bapa kepada empat orang cahaya mata.
Keadaan menyebabkan Mohd Zairi rasa bersalah dan risau terhadap keadaan kereta Ng walau lori miliknya turut mengalami kerosakan.
Melihat Mohd Zairi resah, Ng mengajak lelaki itu makan bersama di sebuah restoran nasi kandar untuk mencari jalan penyelesaian.
Mohd Zairi pula terharu dengan reaksi Ng dan mendapati sepanjang makan bersama, tiada perbualan menyentuh isu kemalangan tetapi menjurus kepada hal keluarga dan kerja.
“Tetapi saya terkejut sebab dia ‘cool’ nampak tenang. Hendak gaduh pun buat apa bukannya kereta boleh baik balik,” kata Mohd Zairi yang berasal dari Bukit Mertajam di sini.
“Pertama kali saya terbabit dalam kemalangan. Selalunya, mesti ada gaduh atau bising bila kereta kena langgar. Tetapi dia bukan sahaja tenang, tetapi peramah.
“Percaya atau tidak, selepas insiden kemalangan itu kami berkawan baik dan masih lagi berhubung,” katanya.
Setelah selesai menikmati makan malam dan membuat laporan polis, mereka berdua menjadi rakan dengan berbual serta bergelak ketawa seperti tiada apa yang berlaku.
Sumber: mStar online , msn.com
0 Comments