Sumber: Berita Harian
KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat di negara ini perlu berdiri megah sebagai satu bangsa yang merentasi setiap perbezaan bagi mewujudkan perpaduan dan kebersamaan yang berkekalan.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bagi mewujudkan suasana itu, rakyat dan pemimpin di setiap lapisan tidak boleh hanya memeluk tubuh dan mengimpikan kejayaan.
Sebaliknya, titah Seri Paduka, usaha jitu perlu diambil bagi meruntuhkan apa juga benteng pemisah yang menjadi penghalang kepada perpaduan.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam Titah Diraja sempena Istiadat Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2019 yang disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen tempatan, malam ini.
Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada tahun ini disambut esok.
“Hakikatnya bukan suatu yang mudah untuk menguruskan kepelbagaian dan perbezaan yang wujud dalam sebuah negara. Ini kerana setiap sesuatu perkara akan cenderung untuk dilihat serta ditafsirkan dari sudut berbeza,” titah Seri Paduka.
Kerana itu, titah Al-Sultan Abdullah, sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lalu, baginda sudah berangkat ke setiap pelusuk negara untuk menyantuni dan mendekati rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan.
“Melalui pendekatan ini, Beta mempelajari bahawa setiap rakyat Malaysia berperanan dalam menyumbang kepada pembentukan sebuah negara maju yang berdaulat dan merdeka.
“Sesungguhnya, perkara paling berharga yang Beta pelajari ialah setiap rakyat Malaysia sebenarnya sangat sayang dan cintakan negara yang bertuah ini,” titah Al-Sultan Abdullah.
Seri Paduka bertitah rakyat Malaysia telahpun mempunyai asas dan semangat perpaduan yang kukuh dan ia hanya perlu disemai dan dipupuk agar asas berkenaan menjadi kekuatan yang mampu menangkis segala rintangan.
Bersempena dengan sambutan rasmi ulang tahun keputeraan kali ini, Yang di-Pertuan Agong mengajak pemimpin di setiap lapisan untuk mengetepikan perbezaan dan bersama-sama menyantuni rakyat dalam usaha untuk membentuk sebuah masyarakat yang harmoni dan bersatu-padu.
“Insya-Allah, Beta dan Raja Permaisuri Agong (Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) akan terus menyantuni dan mendekati rakyat tanpa mengira pangkat, darjah, keturunan dan bangsa dalam mencapai visi penyatuan yang menjadi ramuan kesepaduan dalam membentuk masyarakat yang bertamadun,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menjunjung institusi Raja Berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen serta kekal berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara.
Baca artikel penuh di: Berita Harian
0 Comments