Dr Siti Hasmah (tengah) bersama Md Farid (berdiri, empat dari kiri) dan Leong Yap (berdiri, empat dari kanan) bergambar bersama penerima anugerah pada majlis Anugerah MyHero 3.0 yang diadakan di Wisma Chinese Chamber. - Foto Sinar Harian Rosli Talib
Jameyah Sheriff, 59, ketika ditemui memberitahu sangat bersyukur dengan anugerah diterima serta tidak menyangka kisahnya membantu seorang sahabat yang menghidap cerebral palsy, Tan Chin Chin, 37, ketika sama-sama belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2003 mendapat pengiktirafan.
"Sudah tentu saya gembira dengan anugerah ini tapi yang paling penting saya bantu Chin Chin ketika itu kerana menganggapnya sebagai tanggungjawab untuk saya meringankan beban dia.
"Chin Chin ibarat anak sulung saya dan ketika itu dia baru berusia 20 tahun dan saya pula berusia 42 tahun. Jadi dia amat memerlukan sokongan serta bantuan harian untuk bergerak ke kelas, perpustakaan atau ke mana-mana sahaja," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Anugerah My Hero 3.0 di Wisma Chinese Chamber di sini hari ini.
Malah katanya, beliau sendiri terinspirasi dengan kegigihan Chin Chin yang langsung tidak menjadikan kekurangannya sebagai penghalang dan punya usaha yang sangat hebat untuk belajar sehingga ke universiti.
"Dia sangat cemerlang dalam pelajaran dan sering menjadi pelajar terbaik....kini sudah hampir 10 tahun Chin Chin menjadi pegawai penyelidik di universiti itu.
"Jadi apalah sangat hendak dibandingkan bantuan kecil saya menjemput dan menghantar dia ke kelas, membelikan makanan, pergi ke perpustakaan bersama serta membuat aktiviti lain bersama selama tiga tahun....kejayaan dia hari ini lebih bermakna dan sangat membanggakan saya, apatah lagi ibunya, " katanya yang menyifatkan Chin Chin sebagai teman baiknya.
Baca artikel penuh di: Sinar Harian
0 Comments