Indeks Tadbir Urus Sedunia: Malaysia Catat Kenaikan Terbesar.


Peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Menjalankan Perniagaan serta kejayaan menjadi antara negara mengalami kenaikan terbesar dalam Penunjuk Tadbir Urus Sedunia yang terbaharu adalah perkembangan positif bagi penarafan kredit berdaulat Malaysia.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pembaharuan institusi membantu Malaysia meningkatkan kedudukannya dalam Indeks Menjalankan Perniagaan terbitan Bank Dunia kepada tempat ke-12 untuk tahun 2020 daripada tempat ke-15 untuk tahun 2019.
Beliau berkata, Indeks Menjalankan Perniagaan terbitan Bank Dunia mengukur keberkesanan peraturan perniagaan serta pelaksanaannya di 190 negara.
“Markah dan kedudukan sesebuah negara akan bertambah baik jika peraturan itu memudahkan perniagaan dijalankan.
“Markah Malaysia untuk tahun 2020 meningkat 0.2 mata dan membolehkan negara menaiki tiga anak tangga kepada tempat ke-12 untuk tahun 2020 daripada tempat ke-15 untuk tahun 2019.
“Ia adalah kedudukan Malaysia yang terbaik sejak 2015 dan ia disumbangkan oleh penambahbaikan dibuat dari sudut memulakan perniagaan dan mendapatkan permit pembinaan.
“Malaysia juga menduduki tempat keempat di Asia selepas Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan sebagai negara yang paling mudah untuk menjalankan perniagaan.
“Ini adalah lebih baik dari tahun sebelumnya di mana Malaysia menduduki tempat kelima,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Guan Eng berkata, Malaysia antara negara yang mengalami kenaikan terbesar dalam Penunjuk Tadbir Urus 2018 (Worldwide Governance Indicators) atau WGI terbaharu diterbitkan Bank Dunia awal bulan ini.
Ia hasil daripada pembaharuan institusi yang meluas dilaksanakan oleh kerajaan di mana WGI mengukur kualiti institusi di 214 negara dengan mengambil kira enam dimensi iaitu akauntabiliti, kestabilan politik, keberkesanan kerajaan, kualiti peraturan, kedaulatan undang-undang dan pengawalan korupsi.
“Markah Malaysia dalam lima daripada enam dimensi berkenaan menunjukkan peningkatan,” katanya.
Beliau berkata, dalam menentukan taraf kredit berdaulat, agensi penarafan kredit antarabangsa mengambil kira pelbagai faktor termasuk keadaan fiskal, keadaan ekonomi dan kualiti institusi sesebuah negara.
Katanya, agensi penarafan kredit antarabangsa menggunakan kedua-dua Indeks Menjalankan Perniagaan dan WGI terbitan Bank Dunia untuk menentukan kualiti institusi, dan oleh itu taraf kredit berdaulat.
“Prestasi positif Malaysia dalam kedua-dua laporan terbabit akan memainkan peranan penting dalam mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia tinggi pada paras A3 atau A-.
“Pengekalan taraf kredit berdaulat Malaysia adalah jawapan terbaik terhadap dakwaan bahawa kerajaan tidak mengurus ekonomi negara dengan baik atau meningkatkan hutang kerajaan secara berlebihan ekonomi negara terus menunjukkan daya tahan yang tinggi.



“Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi bulan Ogos 2019 meningkat 1.9 peratus tahun ke tahun, iaitu lebih tinggi daripada peningkatan 1.2 peratus pada bulan Julai. Ini disumbangkan oleh pengembangan sektor pembuatan yang mampan serta pemulihan output bagi sektor perlombongan,” katanya.
Guan Eng berkata, kadar inflasi bagi bulan September 2019 pula berada pada paras 1.1 peratus yang menunjukkan inflasi yang rendah dan stabil adalah kondusif bagi pengembangan penggunaan swasta.
Katanya, nilai jualan perdagangan borong dan runcit naik 5.8 peratus tahun ke tahun dalam bulan Ogos 2019, iaitu lebih tinggi daripada kenaikan 5.7 peratus dalam bulan Julai 2019.
“Kadar pengangguran untuk bulan Ogos 2019 pula adalah rendah dan stabil pada 3.3 peratus. Kerajaan komited melaksanakan pembaharuan institusi, sambil membantu menjana pertumbuhan ekonomi secara berterusan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Hasil pelaksanaan pembaharuan institusi dan pertumbuhan ekonomi mampan akan terus mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia tinggi pada A3 atau A-.
“Kejayaan ini secara objektif menjawab dakwaan bahawa kerajaan semasa tidak menguruskan ekonomi dengan baik, atau meningkatkan hutang kerajaan secara berlebihan,” katanya.

Sumber: Berita Harian, Kementerian Kewangan Malaysia

Post a Comment

0 Comments