Prestasi Industri Pelancongan Malaysia Meningkat 3.7% Jan - Sept 2019


PUTRAJAYA, 26 Nov -- Prestasi industri pelancongan Malaysia bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, menunjukkan perkembangan positif, dengan peningkatan ketibaan pelancong sebanyak 3.7 peratus, berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata ketibaan pelancong ke Malaysia pada Januari hingga September tahun ini meningkat kepada 20,109,203 orang, berbanding 19,386,115 orang pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Korea Selatan, Vietnam, Jepun dan Filipina, merupakan 10 negara penyumbang ketibaan tertinggi, bagi Januari-September 2019," katanya dalam sidang media prestasi pelancongan negara, di kementeriannya di sini hari ini.


Mohamaddin berkata perbelanjaan pelancong pada tempoh Januari-September 2019 meningkat sebanyak 6.9 peratus, iaitu dari RM61.85 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas kepada RM66.14 bilion, dengan penyumbang utama kepada pendapatan pelancongan ialah dari Singapura, China, Indonesia, Thailand dan India.

Sementara purata tempoh tinggal pelancong bagi tempoh Januari-September 2019 meningkat 0.1 malam iaitu dari 7.3 malam kepada 7.4 malam. Lima negara teratas bagi purata tempoh tinggal pelancong asing tertinggi, ialah Arab Saudi, Belanda, Perancis, United Kingdom dan Amerika Syarikat, katanya.

Negara ASEAN atau pasaran jarak dekat mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang terbesar ketibaan pelancong ke Malaysia dengan syer 68.7 peratus, diikuti pasaran jarak sederhana (Asia Utara dan Asia Selatan) 21.6 peratus, dan pasaran jarak jauh 9.7 peratus, katanya.


Mohamaddin berkata perbelanjaan per kapita Januari-September 2019 meningkat 3.1 peratus, iaitu dari RM3,190 kepada RM3,289.

Perbelanjaan per kapita tertinggi bagi lima negara teratas, disumbangkan oleh pasaran jarak jauh dan jarak sederhana iaitu Arab Saudi, China, United Kingdom, Kanada and Taiwan.

Beliau berkata keadaan jerebu yang melanda Malaysia dan negara-negara jiran di rantau ini seperti Singapura, Thailand dan Brunei pada bulan September telah menjejaskan momentum ketibaan pelancong ke Malaysia.

"Saya percaya prestasi ketibaan pelancong ke Malaysia seharusnya lebih baik sekiranya tidak ada masalah jerebu," tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof optimis, sasaran 28 juta pelancong pada tahun ini dapat dipenuhi dalam tempoh tiga bulan lagi, berdasarkan trend sebelum ini yang mencatatkan kemasukan pelancong lebih tinggi pada suku keempat tahun.


Sumber: BERNAMA

Post a Comment

0 Comments