Sebaik-baik manusia
ialah orang paling bermanfaat bagi orang lain.
Oleh itu, apakah
amalan kita yang dapat memberi manfaat kepada yang lain? Apakah sumbangan yang
boleh kita berikan untuk kebaikan masyarakat dan negara?
Salah satu ruang
yang memerlukan sumbangan kita adalah media sosial. Ini memandangkan ruangan
ini menempatkan pelbagai maklumat dari segenap sumber — ada juga maklumat itu
yang tidak dipastikan kesahihannya.
Ini lebih-lebih
lagi apabila media sosial ketika ini ‘dihujani’ dengan pelbagai berita palsu
yang dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan dan kegelisahan dalam kalangan
masyarakat, seterusnya mengganggu-gugat ketenteraman awam.
Sehubungan itu,
baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) telah mendapati media sosial dan pesanan dalam
talian telah menjadi platform utama penularan berita palsu mengenai Novel
coronavirus.
Berikutan itu, PDRM
dan SKMM telah mengenal pasti beberapa individu untuk membantu siasatan
penyebaran berita palsu berkenaan.
Perlu diingatkan
bahawa penyebar berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505
Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda
atau kedua-duanya.
Pendakwaan juga
boleh dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998
yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau
kedua-duanya.
Terdapat pelbagai
mekanisme yang boleh digunakan untuk mengenal pasti sama ada sesebuah maklumat
itu palsu atau sebaliknya. Ia bergantung kepada usaha kita untuk
mengenalpastinya.
Usaha ini mampu
memupuk diri kita untuk menjadi masyarakat yang bertanggungjawab, proaktif dan
bertatasusila selaras dengan aspirasi negara.
Pemikiran
analitikal
Seharusnya jika
seseorang itu memperoleh sesebuah berita, perkara utama perlu difikirkannya
adalah dari mana sumber berita itu, apa tujuan penyebarannya dan apa kesannya
kepada masyarakat umum.
Dengan menggunakan
pengamatan secara analitikal sebaik-baiknya, nescaya kita dapat sedikit
sebanyak mengenal pasti kesahihan berita berkenaan.
Kita perlu
mewujudkan satu pendekatan sendiri untuk mengenal pasti kesahihan
maklumat-maklumat ini. Kita perlu menjadi ejen penghalang kepada berita-berita
palsu ini.
Jika anda menerima
sesebuah berita, adalah dinasihatkan untuk terlebih dahulu meneliti kredibiliti
pihak penerbitnya. Tidak semestinya sesebuah artikel yang popular dalam
kalangan pengguna media sosial itu tepat dari segi isi kandungannya.
Terdapat maklumat
yang terang-terangan datang daripada sumber yang meragu-ragukan dan boleh
disanggah dengan mudah.
Namun begitu, jika
maklumat-maklumat itu sukar untuk disahkan, kewujudan media-media arus perdana
boleh dimanfaatkan. Laporan berita daripada agensi berita nasional, Bernama
boleh dijadikan sandaran serta rujukan.
Terdapat juga laman
web berfungsi sebagai ‘fact checker’ seperti sebenarnya.my yang menyiarkan
maklumat-maklumat sahih kepada orang ramai sekali gus memadam dakwaan-dakwaan
palsu yang wujud.
Kesimpulannya,
sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, adalah menjadi peranan kita
untuk memastikan rakyat secara keseluruhannya tidak terbelenggu dengan
permasalahan berita palsu ini.
Peranan kita
sebagai ejen penghalang berita palsu adalah penting untuk memastikan
berita-bertia palsu ini tidak tersebar sehingga membawa kepada kemudaratan yang
merugikan kepada negara.
Orang ramai turut
perlu diberikan pendedahan seluas-luasnya terhadap kaedah pemikiran secara
analikal dalam membendung penularan anasir berita palsu ini terutama menerusi
iklan-iklan serta pengumuman khidmat masyarakat (PSA).


0 Comments