NASIB NANDINI DAN 9.3 JUTA KANAK-KANAK MALAYSIA



“Nandini, jomlah main sama-sama di taman!”

Nandini hanya menangis di belakang pintu dengan tangannya digenggam kuat seorang lelaki. Ibu dan ayah memberitahu Nandini, lelaki itu adalah suami. Wang berganti dengan Nandini yang perlu tinggal di rumah ini. Nandini masih tak mengerti.

Di seluruh dunia, 23 orang kanak-kanak seperti Nandini berkahwin atau dikahwinkan pada setiap minit. Ya, pada setiap minit! Perkahwinan bawah umur berlaku jika kanak-kanak yang berkahwin itu berumur 18 tahun ke bawah dan kes ini merentasi negara, agama dan kepelbagaian budaya masyarakat.

Seksyen 8, Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (AUKI 1984) menyatakan bahawa umur minimum bagi perkahwinan yang melibatkan pasangan beragama Islam ialah 18 tahun ke atas bagi lelaki manakala 16 tahun ke atas bagi perempuan.

Bagi pasangan yang bukan Islam pula, menurut Seksyen 10, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, umur minimum perkahwinan yang dibenarkan ialah 18 tahun ke atas bagi lelaki dan perempuan.

Seperti mana poligami berlaku dengan sebabnya, perkahwinan bawah umur juga begitu walaupun kedua-duanya punya banyak sebab lain supaya tidak berlaku dalam sesebuah ikatan perkahwinan. Ketidaksamarataan gender, tradisi, kemiskinan dan keadaan yang tidak terjamin antara sebab memungkinkan perkahwinan bawah umur berlaku di serata dunia.

Pada tahun 2018 di negara ini, kecoh tentang isu perkahwinan seorang lelaki berumur 41 tahun bersama seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun. Kanak-kanak itu dikahwinkan atas faktor kesusahan hidup yang dialaminya bersama keluarga. Maka, pecahlah khabar ke serata negara yang mencetuskan perbincangan, perdebatan dan kritikan hebat daripada pihak berwajib mahupun netizen di media sosial.

ADAKAH KPWKM BERSUARA?

Sebuah kenyataan media dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 5 Ogos 2019 yang menyatakan bantahan terhadap perkahwinan bawah umur ini. KPWKM juga menyatakan pendirian tegas mereka terhadap kepentingan kanak-kanak untuk mengembangkan potensi diri. Ini jelas tidak dapat dilakukan sekiranya kanak-kanak tidak kira lelaki ataupun perempuan berkahwin pada usia terlalu muda.

Kes ini juga telah membuka isu yang lebih besar apabila sebenarnya terdapat beribu-ribu kes perkahwinan kanak-kanak di Malaysia. KPWKM dengan kerjasama Polis Di raja Malaysia (PDRM) menjalankan kajian terperinci, manakala Jabatan Peguam Negara turut membantu menegakkan hak-hak kanak-kanak tersebut.

Ketika itu juga KPWKM bersama Menteri Hal Ehwal Agama di Pejabat Perdana Menteri bekerjasama untuk menetapkan had umur minimum bagi perkahwinan di dalam semua perundangan kepada 18 tahun. Ini merupakan langkah yang positif dan komen-komen positif pun tular di media-media sosial dengan langkah ini.

Bukan itu saja, usaha untuk menambahkan pengetahuan masyarakat mengenai kesan negatif perkahwinan kanak-kanak juga dirangka. Malah, kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Ekonomi dilihat dapat membantu untuk menghapuskan kemiskinan supaya perkahwinan kanak-kanak dapat dihentikan.

APAKAH NASIB ‘NANDINI’ DAN KANAK-KANAK LAIN SELEPAS INI?

Selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang, KPWKM kini telah berubah wajah pimpinannya. Kalau dahulu kita ada Wan Azizah dan Hannah Yeoh yang tegas bersuara membantah perkahwinan kanak-kanak di Malaysia. Kini, kita ada Rina Harun sebagai menteri dan Siti Zailah sebagai timbalan menterinya.

2018 menyaksikan satu ‘thread’ di laman Twitter Siti Zailah tentang ‘pencerahan’ yang dikarangnya untuk menjustifikasikan perkahwinan kanak-kanak kepada bantahan keras dan tegas oleh Hannah Yeoh. Zailah bukan sahaja cuba meyakinkan kita semua tentang perkahwinan bawah umur adalah untuk mengelak daripada berleluasanya seks bebas dan semata-mata, malah Zailah juga mengangkat kad perkauman dalam tulisannya.

Apa tujuan Zailah menyatakan bahawa perkahwinan kanak-kanak bukan Islam lebih ramai daripada masyarakat Muslim di awal-awal tweet-nya itu? Apa yang cuba disampaikannya? Bukankah sebagai pemimpin, Zailah seharusnya mewakili suara semua orang tidak mengira bangsa ataupun agama?

Jika beginilah sikap Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dilantik baru-baru ini, apakah nasib Nandini, Feng Yin, Shifa dan seluruh kanak-kanak di Malaysia?

Post a Comment

0 Comments